Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan panggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah ‘teknologi’ selalunya berkait rapat dengan rekaan dan gadget menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Maksud teknologi dari segi ekonomi; ia dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah.
Teknologi dan belia bagai satu gabungan yang serasi. Kedua-duanya muda, berkembang pantas dan sentiasa berubah-ubah mengikut persekitarannya. Dua puluh tahun lalu, berlakunya kejutan dalam teknologi baru (penghantaran satelit). Ini telah membuka mata belia dan menarik minat mereka untuk menguasai pengetahuan, jaringan sosial dan lain-lain dalam dunia tanpa sempadan ini.
Terlalu banyak maklumat yang kita baca, dengar dan lihat tentang “belia dan teknologi” yang diketengahkan dalam media, media cetak mahupun media elektronik. Namun, sedarkah anda maklumat-maklumat tersebut kebanyakkannya berilustrasikan kepada belia urban, sekaligus meng‘anaktiri’kan belia sub-urban. Setujukah anda?
Mari kita lihat dengan lebih mendalam tentang penyataan ini. Contohnya, apabila kita menyebut tentang kemahiran, penggunaan dan kepekaan teknologi, ia begitu sinonim dengan bandar. Kenapa begitu? Ini kerana seawal pendidikan kita, kita disogok ‘khabar angin’ tentang kepesatan dan kemajuan kota, ini membuatkan kita mempunyai persepsi bahawa ‘jika wujudnya kemajuan, ia mesti bermula dan bertapak di bandar’ dan hanya belia bandar yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepekaan tentang teknologi. Bagaimana pula dengan belia sub-urban? Adakah mereka masih ketinggalan dan terlalu naif tentang teknologi? Sedarkah anda bahawa sebenarnya di samping pertumbuhan pesat bandar siber (Koridor MSC iaitu Cyberjaya Flagship Zone, Kuala Lumpur City Centre, Teknology Park Malaysia dan UPM-MTDC serta Wilayah Ekonomi koridor Utara – NCER iaitu Penang Cibercity dan Kulim High Tech Park, Kedah) dan pusat siber (KL Sentral, Melaka International Trade Centre dan Menara MSC Cyberport), kerajaan juga turut membangunkan prasarana ICT (Information Communication and Technology) di luar bandar. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak 217 telecentre dibangunkan yang terdiri daripada 42 Pusat Internet Desa, 39 Medan Info Desa, 58 Pusat Akses Komuniti dan 75 Kelas Literasi Komputer (Abdul Rahim Anuar; 2008). Telecentre ini akan memberi keupayaan kepada komuniti luar bandar untuk mendapatkan akses dan menggunakan maklumat bagi meningkatkan taraf sosial dan ekonomi mereka. Maka dengan ini, dapat disimpulkan bahawa sebenarnya tiada perbezaan antara belia urban dengan belia sub-urban. Sama ada anda tinggal di kota atau desa, peluang untuk anda mengenali teknologi dan menggunakkannya adalah sama.
Setelah kita mengetahui tentang hakikat sebenar ‘peluang’ yang ada, kita lihat pula pada kesan teknologi terhadap belia. Secara dasarnya, banyak kesan positif yang boleh belia perolehi dari pengetahuan, kemahiran dan kepekaan tentang teknologi. Antaranya ialah belia dapat meluaskan jurang interaksi sosial, menambah ilmu pengetahuan, memudahkan pencarian maklumat, kerana ia lebih pantas, banyak pilihan serta menjimatkan masa. Namun, antara sedar atau tidak sebenarnya turut mendatangkan masalah dan risiko. Ini kerana belia boleh menggunakan media elektronik (salah satu dari teknologi kini yang popular) untuk memalukan, menggangu dan mengancam orang lain. Ini dapat dilihat dari kenaikan jumlah mangsa-mangsa remaja keganasan bentuk baru, iaitu pencerobohan elektronik. Kajian menunjukkan bahawa 9 peratus hingga ke 35 peratus remaja melaporkan yang mereka menjadi mangsa keganasan ini. Seperti bentuk keganasan biasa, ia pencerobohan elektronik juga dikaitkan dengan gangguan emosi dan menyebabkan masalah.
Contoh pencerobohan elektronik ialah:
- Mendedahkan maklumat peribadi mana-mana individu ke pengtahuan umum (contoh menerusi laman web) dengan tujuan memalukan individu tersebut.
- Menyebarkan khabar angin atau fitnah seseorang ke pengetahuan umum (contoh menerusi discussion board).
- Mengagihkan gambar yang memalukan dengan menyiarkannya ke khalayak umum (menerusi laman web) atau menghantar melalui e-mail.
- Menghantar pesanan-pesanan mesej, mesej segera atau e-mail yang tidak baik, memalukan atau mengancam.
Kesimpulannya, tiada yang sempurna dalam dunia yang fana ini. Setiap perkara yang berlaku ada keburukan dan kebaikannya. Bergantungan kepada individu tersebut bagaimana ia menggunakan teknologi yang sedia ada ini.
0 comments:
Post a Comment