CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 14, 2009

PENGUASAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN TELEKOMUNIKASI DI KALANGAN BELIA.

Masyarakat kini hidup dalam era globalisasi yang berteraskan sains dan teknologi dalam rutin seharian. Kebergantungan masyarakat terhadap penggunaan sains dan teknologi dalam apa jua aspek kehidupan serta penggunaan unsur-unsur kreatif sangat penting di dalam kehidupan seharian. Dengan wujudnya information technology and communication (ICT) ia dapat menjadi nadi utama dalam kemajuan serta pembaharuan di dalam ilmu pengetahuan menerusi perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi di kalangan belia. Penubuhan Sekolah Bestari telah membuktikan bahawa penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi adalah sangat memberansangkan dan telah memberi impak yang positif dalam mencapai wawasan 2020.

Pada masa kini, penguasaan belia di dalam ICT bagaikan satu perkara yang amat penting. Kepentingan di dalam penggunaan teknologi maklumat telah menyebabkan belia, terutama sekali pelajar IPTA dan IPTS sedar akan kewujudan teknologi maklumat telah banyak membantu mereka di dalam proses pembelajaran dan dalam pencarian maklumat tambahan. Dengan perkembangan ICT, pelajar IPT tidak perlu runsing dalam carian maklumat mengenai tugasan kerana dengan capaian menerusi internet, maklumat boleh diperoleh dengan cepat dan tepat, berbanding dengan 20 tahun dahulu di mana maklumat hanya diperolehi dari perpustakaan dan majalah-majalah tertentu sebagai rujukan. Penerimaan belia terutama pelajar IPT terhadap perkembangan dan pengaruh ICT dalam kehidupan seharian perlu bermula dengan keyakinan diri dan sikap yang positif. Ini termasuklah minat mereka di dalam ICT, pendirian mereka mengenai sejauh mana ICT dapat mengubah atau membantu mereka dalam aktiviti harian dan sebagainya. Kini, penguasaan ICT di kalangan belia adalah sangat memberansangkan di sebabkan kebanyakan belia menggunakan ICT sebagai medium dalam menyalurkan maklumat serta carian maklumat.

Pihak kerajaan sentiasa berusaha dan member keutamaan untuk membentuk masyarakat bermaklumat dan berilmu menerusi penggunaan ICT secara meluas dan menyeluruh. Antara usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan ialah Kementerian Belia dan Sukan yang menyalurkan bantuan sebanyak RM 3000 kepada pertubuhan belia di seluruh negara supaya membolehkan mereka menubuhkan sebuah pusat siber di setiap kawasan Parlimen seluruh negara. Ini membuktikan bahawa usaha pihak kerajaan adalah untuk member kemudahan kepada golongan belia dalam menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi dan seterusnya dapat membantu penduduk setempat dalam menggunakan kemudahan teknologi tersebut. Apabila belia telah menguasai teknologi maklumat dan komunikasi, ia akan membuka ruang kepada mereka dalam memajukan diri. Sebagai contoh baru-baru ini, lima orang belia telah dipilih untuk mewakili negara pada Forum Pembangunan ICT Remaja di Armenia yang dianjurkan oleh Perikatan Global Bangsa-Bangsa Bersatu. Forum (UN-GAID-GYF) itu adalah sebahagian usaha badan dunia dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan pembangunan ICT di peringkat global. Ini membuktikan, belia di negara kita diberi peluang oleh pihak kerajaan dalam memperkasakan idea dan juga pengetahuan di dalam ICT.

Walau bagaimanapun, pengusaaan di dalam ICT dapat membantu para graduan dalam mencari jawatan kosong dalam bidang pekerjaan. Dengan wujudnya laman web seperti JobStreet, JobSeeker dan sebagainya dapat memudahkan lagi para graduan untuk mencari pekerjaan. Malah, pengisian borang untuk jawatan-jawatan kerajaan juga boleh diisi menerusi laman web. Faedah dalam penguasaan ICT sememangnya memberi pulangan kepada belia yang dapat menguasainya untuk memajukan diri mereka. Penguasaan di dalam Bahasa Inggeris bukan lagi menjadi alasan kepada belia untuk mempelajari ICT disebabkan terdapat banyak laman web dan juga software dihasilkan dalam Bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, penggunaan ICT banyak mendorong para belia untuk lebih berfikir secara kreatif dan kritis. Ini dapat dilihat melalui penghasilan blog di mana belia semakin berani bersuara akan sesuatu isu, terutama isu yang melibatkan kemanusiaan. Kepekaan serta pandangan belia tentang sesuatu isu secara kritis dapat membuktikan kematangan mereka dalam menyumbangkan idea. Bukan itu sahaja, penguasaan belia di dalam ICT semakin mantap menerusi penyertaan pelajar-pelajar universiti seluruh Malaysia di dalam pertandingan Robocon Malaysia yang mendapat sambutan yang menggalakkan dari 64 kumpulan daripada 31 pusat pengajian seluruh Malaysia. Pemenang bagi pertandingan ini telah mewakili Malaysia di dalam pertandingan bertaraf dunia iaitu Abu Robocon 2008 di Pune, India. Pengetahuan mengenai ICT telah membuka mata masyarakat bahawa penciptaan robot bukan sahaja diaplikasi di negara-negara maju, malah negara yang sedang membangun seperti Malaysia juga mampu melahirkan para belia yang berkebolehan dalam penciptaan robot.

Justeru, baru-baru ini bagaikan fenomena apabila penghasilan filem Geng: Pengembaraan Bermula mendapat sambutan yang memberansangkan daripada masyarakat Malaysia. Filem ini diterbitkan oleh Les’ Copaque Production Sdn. Bhd dan merupakan filem animasi 3D yang pertama di Malaysia yang dihasilkan oleh 50 orang belia yang terdiri daripada pelajar universiti tempatan yang sangat berkebolehan dalam menghasilkan filem yang bermutu yang mengaut RM 5 juta selepas 2 minggu ditayangkan. Kreativiti para belia ini menunjukkan penguasaan belia terhadap teknologi khususnya ICT adalah tinggi. Ini akan membuka peluang kepada belia yang lain untuk mencuba dalam bidang ini dalam mempertingkatkan kebolehan dan kemahiran mereka supaya dapat menjadi belia yang dapat berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Menyedar hakikat di atas, jelaslah bahawa belia di Malaysia sememangnya menguasai ICT dengan begitu baik dan yakin akan penggunaannya sebagai alat komunikasi dan saluran ilmu pengetahuan yang membawa kepada pembaharuan tamadun ilmu. Penguasaan ICT juga dapat membantu para belia dalam memajukan diri mereka, tidak kira samada mereka masih di IPT mahupun yang sudah bekerja, ia sememangnya dapat menyenangkan para belia dalam melakukan aktiviti seharian dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Namun begitu, masyarakat bandar lebih maju dan lebih terdedah kepada penggunaan dan kaedah ICT berbanding belia di luar bandar. Akan tetapi masalah seperti itu dapat diselesaikan dengan kerjasama dari semua pihak, terutamanya, keluarga, masyarakat, pihak kerajaan dan belia itu sendiri dalam memastikan penggunaan serta penguasaan ICT secara menyeluruh.

0 comments: