CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, March 20, 2009

BELIA DAN MASA HADAPAN

Arus perkembangan semasa ternyata memberi impak yang amat besar dalam kehidupan kita. Perkembangan demi perkembangan ini tidak dapat kita hadapi tanpa kita membina tamadun baru dalam kehidupan kita. Perkembangan ini meliputi keseluruhan cara hidup masyarakat kini dan apa yang ingin difokuskan di sini ialah perkembangan kepada golongan belia. Dalam dunia yang semakin maju ini terutama dalam abad ke-21, harapan rakyat terutama sekali di kalangan belia adalah sangat tinggi. Kewujudan teknologi yang canggih menjadikan kehidupan belia sekarang lebih maju seiring dengan golongan belia di negara-negara maju yang lain. Disebabkan kewujudan teknologi inilah yang menyebabkan golongan belia pada zaman sekarang sudah mengubah cara hidup sehingga membawa kesan negatif kepada cara hidup mereka.

Generasi remaja dan belia perlu melihat bahawa perubahan semasa yang drastik ini boleh memberi kesan yang negatif walaupun kita tidak dapat menafikan yang kewujudan teknologi ini membawa perubahan dalam kehidupan kita. Kewujudan teknologi ini sudah cukup untuk melengkapkan kehidupan manusia terutama kepada golongan belia yang sangat peka terhadap pertumbuhan teknologi ini. Tanpa penggunaan teknologi ini mungkin golongan belia tidak dapat menyesuaikan diri kerana teknologi komunikasi adalah salah satu keperluan dalam hidup mereka. Golongan belia perlu menyiapkan diri dengan pelbagai jenis pengetahuan dan kemahiran supaya mereka boleh menyesuaikan diri dengan arus peredaran zaman sekarang. Hal ini juga boleh mengelakkan belia daripada terpinggir terhadap penerimaan kewujudan teknologi. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat boleh menyebabkan dunia semakin hari semakin kecil. Maklumat dan berita yang disalurkan melalui internet juga boleh mempengaruhi pemikiran belia. Malah, kewujudan blog kini menjadi medium maklumat yang semakin popular untuk golongan belia menyuarakan pendapat dan pandangan mereka secara bebas tetapi masih terkawal. Kewujudannya tidak boleh dipandang ringan kerana peranannya cukup berkesan.

Selain kewujudan blog ini, banyak lagi contoh teknologi komunikasi yang membantu dalam perubahan cara hidup golongan belia. Salah satunya ialah penggunaan telefon bimbit yang kini sudah sebati dengan golongan belia. Telefon bimbit kini menjadi keperluan hidup bagi mereka kerana mempunyai banyak fungsi dalam kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit juga boleh mewujudkan kesan buruk akibat penyalahgunaannya. Oleh sebab itulah, belia perlu bijak menggunakan teknologi yang ada supaya kewujudannya mendatangkan kebaikan kepada mereka. Seharusnya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan anak-anak mereka. Kewujudan teknologi yang pelbagai ini hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya agar kita dapat memanfaatkan penggunaannya.

Kesimpulannya, kewujudan teknologi ini banyak membawa kebaikan kepada cara hidup golongan belia. Belia kini sudah mampu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai jenis pengetahuan dan kemahiran. Hal ini disebabkan oleh desakan hidup mereka yang seiring dengan peredaran zaman sekarang. Belia perlu menyiapkan diri mereka dengan pelbagai jenis pengetahuan supaya mereka setanding dengan golongan remaja dari negara lain. Ini juga boleh mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada negara kerana belia adalah aset utama dalam pembangunan negara kita. Mereka perlu menyeimbangkan penggunaan teknologi supaya tidak menjurus ke arah keburukan yang boleh menjejaskan identiti mereka sebagai belia Malaysia. Oleh sebab itulah, belia perlu bijak menggunakan teknologi yang ada supaya mereka mendapat faedah daripada kewujudan teknologi tersebut. Belia perlu bijak mengatur masa hadapan mereka supaya mereka menjadi belia yang cemerlang dan berkualiti.

0 comments: