CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, March 9, 2009

BELIA TANPA TEKNOLOGI

Belia tanpa teknologi. Pelbagai persoalan boleh timbul dari penyataaan ini sama ada dari sudut pandangan yang positif mahupun negatif di kalangan masyarakat masa kini. Jadi, bolehkah belia masa kini hidup tanpa teknologi? Apakah kesannya kepada masyarakat dan juga negara jika belia tanpa teknologi? Bagaimana pula kesannya jika belia hidup dengan adanya teknologi? Mengapa perlunya teknologi kepada belia? Sejauhmana pentingnya teknologi kepada belia? Oleh yang demikian kita akan kupas sejauhmana benarnya pernyataan ini.

Sepertimana yang kita ketahui, pada masa kini terdapat pelbagai jenis peralatan yang berteknologi telah dicipta untuk memudahkan masyarakat bagi melancarkan sebarang urusan sama ada rasmi atau tidak rasmi. Dengan adanya teknologi, masyarakat negara ini terutamanya di kalangan belia akan menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi tahap pembangunan negara yang meliputi pelbagai aspek seperti pendidikan, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Ini adalah kerana belia merupakan golongan yang paling aktif dan jumlah belia yang terdapat di negara ini adalah merangkumi separuh daripada jumlah penduduk negara kita. Namun, yang pastinya belia memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negara seperti melahirkan idea-idea yang bernas dan kreatif dalam menghasilkan sesuatu yang yang unik serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. Selain itu, belia turut menampilkan budi pekerti serta akhlak yang mulia dalam membentuk masyarakat yang mempunyai nilai moral yang tinggi dan sebagainya untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran di negara ini.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, dikalangan 1,936 orang generasi muda berumur 15 hingga 26 tahun menunjukkan 58% menyatakan mereka mahir menggunakan internet. Bagi generasi muda masa kini, teknologi bukan sekadar gadget atau maklumat tetapi ia sudah menjadi satu keperluan dan kemestian sehingga ia menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

Namun begitu, masih terdapat segelintir golongan masyarakat terutamanya di kalangan belia yang telah menyalahgunakan kemudahan teknologi masa kini seperti merakam, menonton dan menyebarkan gambar yang berbentuk audio visual atau video yang berunsurkan seks seperti gambar lucah kepada masyarakat yang lain. Ini mengggambarkan sikap masyarakat yang kurang sopan dan tindakan yang kurang bijak yang seterusnya melahirkan masyarakat yang tidak berwibawa. Selain itu, masih ada juga di kalangan masyarakat yang sanggup melihat orang lain menderita dan terseksa kerana perbuatan mereka yang sanggup menyebarkan gambar atau video wanita yang kurang sopan kepada masyarakat. Apa motif mereka sebenarnya? Adakah sekadar untuk keseronokan, membalas dendam atau mengaibkan orang? Di manakah nilai-nilai murni masyarakat kita masa kini yang sepatutnya memartabatkan golongan wanita dan bukannya untuk menjatuhkan martabat golongan wanita? Permasalahan seperti ini akan sudah pasti akan memberi impak negatif bukan hanya kepada masyarakat malahan juga kepada negara. Jadi, beginikah sikap belia pada masa kini yang sanggup memusnahkan masa depan negara? Mereka sepatutnya membantu dan menyumbang tenaga serta buah fikiran untuk meningkatkan pembangunan dan kemajuan negara agar setaraf dengan negara maju yang lain di dunia.

Tetapi penggunaan teknologi juga sebenarnya penting di kalangan belia untuk membantu mereka bagi mendapatkan maklumat dan informasi dari semua aspek dan bidang yang dikehendaki. Penggunaan teknologi di kalangan belia juga dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan ilmu dalam diri mereka agar mereka dapat membentuk sahsiah serta peribadi yang baik disamping mempunyai tahap pemikiran yang tinggi dalam membentuk masyarakat masa kini. Justeru itu, golongan belia juga boleh mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam kehidupan mereka seperti memiliki laptop dan broadband secara peribadi bagi memudahkan mereka melaksanakan sebarang urusan sama ada urusan pejabat mahupun pelajaran. Di samping itu, terdapat tempat atau lokasi yang tertentu yang menyediakan kemudahan ‘wireless’ yang merupakan salah satu daripada teknologi pada masa kini yang dapat memudahkan belia dan juga masyarakat yang lain untuk mengakses maklumat melalui internet tidak kira di mana sahaja mereka berada. Ini dapat memberi gambaran bahawa masyarakat terutamanya golongan belia bukan hanya sekadar mendengar siaran radio mahupun membaca suratkhabar atau majalah, malahan mereka juga boleh mendapatkan semua jenis maklumat yang diperlukan melalui internet. Ini kerana dengan adanya internet, masyarakat dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga untuk perolehi maklumat yang dikehendaki. Jadi, ia dapat memudahkan perjalanan bagi masyarakat masa kini untuk mendapatkan informasi bagi membentuk masyarakat dan negara yang maju selaras dengan peredaran globalisasi masa kini.

Teknologi sebenarnya merupakan satu alat atau kaedah yang digunakan untuk membantu masyarakat dan juga negara bagi meningkatkan pembangunan sesebuah negara. Jadi, tanpa teknologi mustahil sesebuah negara dapat membangun dengan cepat dan baik kerana tanpa teknologi sudah pasti negara kita akan ketinggalan jauh ke belakang berbanding negara-negara lain yang semakin pesat membangun. Namun, dengan adanya teknologi juga, sesebuah negara boleh menjadi mundur bukan sahaja dari segi pembangunan negara malahan dari segi pemikiran dan akhlak masyarakatnya kerana penyalahgunaan teknologi boleh memusnahkan masa depan masyarakat dan juga negara dalam sekelip mata.

Jelas sekali dapat digambarkan bahawa belia pada generasi masa kini akan menentukan arah tujuan pembangunan dan corak kepimpinan negara masa akan datang kerana mereka merupakan aset yang paling penting dan sangat bernilai bagi sesebuah negara untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan maruah bangsa, agama dan negara. Di samping itu, golongan belia dapat membangunkan dan memajukan negara agar dapat dikenali dipersada dunia. Tanpa teknologi, golongan belia pada masa kini tidak mungkin akan dapat merealisasikan matlamat mereka serta kerajaan mahupun negara dalam mencapai wawasan 2020.

0 comments: